Ada pendapat mengatakan hidup ini satu perjudian. Memang benar kerana tidak dapat tidak dalam hidup ini kita harus memilih samada jalan itu jalan yang mudah atau jalan yang sukar.Setiap diri kita ini diuji dengan pelbagai ujian yang berbeza-beza mengikut kemampuan dan daya kudrat kita untuk menghadapinya.
Kadang-kadang kita tersilap perhitungan dengan berfikir bahawa dunia ini tidak adil.Mengapa dugaan sentiasa melanda kehidupan kita? Mengapa hidup kita jadi begini?,namun tahukah kita bahawa kehidupan kita ini dijadikan oleh Allah sebagai ujian dan medan untuk mengumpul bekalan amal bagi menghadapi hari akhirat seperti firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 1-2 yang berbunyi:
"Maha suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.Dialah yang menjadikan adanya mati dan hidup supaya Dia menguji siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."
Lantaran itu dijadikan segala macam kesusahan, kesedihan dan penderitan sebagai sebab bagi membolehkan kita ke syurga impian.Ini kerana Allah sendiri menegaskan bahawa Dia tidak mahu kejadian kita ini menjadi suatu yang sia-sia dan sebagai mainan yang tiada makna :
"Apakah manusia mengira bahawa dia akan dibiarkan begitu saja(tanpa pertanggungjawaban)?"
surah al-Qiyamah:36

